arena

Hanya enam atlet mendaki kategori A

Farah Azharie

Pix: Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Seramai 12 atlet Persekutuan Mendaki Malaysia (MFM) membuat permohonan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan separuh darinya terpaksa diletakkan dalam kategori B (pembiayaan sendiri) menjelang Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Sebagai salah satu acara demonstrasi untuk temasya empat tahun sekali itu dan buat kali pertama Malaysia akan mempunyai wakil di Sukan Asia, MFM sebelum ini sudah menyenaraikan enam atlet lelaki dan enam wanita untuk beraksi dalam tiga kategori.

“Apa yang kami bincangkan ialah separuh dari atlet akan beraksi atas tanggungan sendiri dan yang selebihnya ditaja MOM (kategori A),” kata Naib Presiden MFM, Mohd Akbal Amin.

MFM menyenaraikan atlet yang akan mengambil bahagian dalam kategori lelaki dan wanita untuk boulder, lead dan kombinasi speed, speed individu rekod dunia dan the speed berpasukan ganti-ganti rekod dunia, yang tersenarai dalam acara mendaki.

Bagaimanapun, ini adalah kali pertama Malaysia mengambil bahagian dalam acara ini dan MFM tidak meletak sebarang sasaran, malah mereka masih lagi melakukan pemilihan fasa akhir sekali gus belum dapat mendedahkan senarai atlet yang bakal mengambil bahagian.

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran dan kami perlu melakukan pemilihan fasa akhir, dari situ kami boleh meletakkan sasaran.

“Ia sangat penting kerana kami sudah berlatih sekian lama tapi tidak berpeluang untuk pergi bertanding dan temasya ini adalah peluang terbaik,” katanya.

Akbal juga begitu teruja kerana berkemungkinan Malaysia akan berpeluang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas sukan mendaki diumumkan sebagai salah satu dari enam acara baru.

Acara lain yang akan dipertandingkan buat pertama kali ialah papan selaju, surfing, karate dan besbol/sofbol.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 12:10am
d