arena

Rahm menyerlah di California

Oleh AFP

LOS ANGELES: Pemain Sepanyol, Jon Rahm mencatat 10 bawah par 62 untuk mendahului dengan kelebihan satu pukulan pada pusingan pertama Cabaran CareerBuilder Jelajah AS PGA di La Quinta, California.

Rahm yang menjadi pemain ranking tertinggi beraksi di kejohanan itu, cukup menyerlah di lapangan Kelab Golf dan Country La Quinta dengan lapan birdie serta satu eagle.

Dia mengumpul kelebihan satu pukulan di depan pemain Amerika Syarikat, Austin Cook, Jason Kokrak dan Andrew Landry.

Ketinggalan satu lagi pukulan di belakang ialah Brandon Harkins, Martin Piller, Beau Hossler dan Aaron Wise.

Dengan dua birdie berturut-turut pada awal permainan, dia membenam eagle di lubang kelima sebelum birdie di lubang enam dan tujuh. Sepanjang tujuh lubang pertama, Rahm sudah mencatat enam di bawah par.

Rekod di lapangan itu dicatat pemain Kanada, Adam Hadwin yang melakukan 59 pukulan tahun lalu.

“Setiap kali anda dapat melakukan permainan seperti itu, angka 60 atau 59 mula terlintas di fikiran,” kata Rahm. “Saya sedar dengan hakikat itu dan saya hanya perlu bermain baik dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan diri sendiri.”

Walaupun akhirnya dia gagal mencatat 60 pukulan, Rahm tetap gembira kerana apa yang dilakukannya itu adalah catatan peribadi paling rendah sepanjang beraksi di Jelajah PGA.

“Itulah golf,” kata Rahm. “Anda tidak akan dapat melakukan hanya satu putt setiap kali, anda tidak akan dapat melakukan pukulan sempurna pada setiap masa. Saya membenam birdie di lubang terakhir dan 10 di bawah par sudah cukup menggembirakan.

“Apa lagi yang saya mahukan?” katanya.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 11:30am
d