arena

Gaji Sanchez cetus inflasi: Dyche

Oleh Reuters

BURNLEY, England: Gaji lumayan yang bakal diperolehi Alexis Sanchez, sekiranya kontraknya dengan Manchester United dimeterai mampu mencetus inflasi kepada sukan itu dengan memberi impak terhadap kelab kecil, kata pengurus Burnley Sean Dyche hari ini.

Sanchez mungkin akan membuat penampilan sulung buat United menentang pasukan Dyche di Turf Moor malam esok jika perpindahannya dari Arsenal berjaya diselesaikan tepat pada masanya.

Media Britain melaporkan bahawa United bersedia membayar penyerang itu lebih daripada 350,000 pound (RM1.92 juta) seminggu yang akan menjadikannya pemain dengan gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris.

Pemain dengan gaji tertinggi di Burnley dipercayai menerima hanya satu persepuluh daripada angka berkenaan.

“Ia mencipta cabaran yang hebat kerana setiap kali pasukan besar membelanjakan wang yang terlalu banyak untuk pemain yang kemudiannya memberi kesan terhadap pasaran pemain,” kata Dyche.

“Jadi setiap pemain yang anda cuba hubungi selepas itu akan menaikkan nilai bayaran untuk diri mereka dan berkata itu tidak bermakna dia pemain yang bagus tetapi dia perlu seiring dengan pemain berkenaan.

“Justeru apa tindakan yang perlu kami lakukan selepas ini. Di mana pula tahap nilai pemain yang bakal menjadi sasaran kami selepas ini?”

Biarpun Burnley mempunyai antara bajet terkecil dalam Liga Perdana Ingegris, mereka melonjak ke tangga ketujuh musim ini tetapi Dyche berkata jurang di antara kelab kaya dan yang lain terlalu ketara.

“Ada kelompok pemain berbakat untuk pasaran mewah dan kami perlu melihat pada pasaran berbeza. Saya tidak fikir ada di antara kami yang terkejut dengan jurang di Liga Perdana dan bagi saya ia sudah terlalu lama dan menjadi sukar saban tahun sejak model perniagaan bola sepak mula berubah,” katanya.

“Masalahnya kelab terbabit semakin ke hadapan dan kami ketinggalan dan sukar mengejar mereka. Namun itulah cabaran berterusan di Kelab Bolasepak Burnley dan saya sukakan cabaran itu,” kata Dyche.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 11:56am
d