arena

Karolyi Ranch akan ditinggalkan

Oleh Reuters

LOS ANGELES: Gimnastik Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa mereka tidak akan menggunakan pusat latihan Karolyi Ranch yang selama ini menjadi tempat melahirkan atlet elit selepas beberapa siri serangan seksual yang didakwa dilakukan doktor pasukan, Larry Nassar.

Kemudahan yang terdapat di pusat latihan di Huntsville, Texas itu pernah menyaksikan atlet gimnastik AS seperti Simone Biles memenangi emas Olimpik Rio 2016.

“Sejak saya menjadi presiden dan CEO (Gimnastik AS) Disember lalu, saya sudah berhasrat untuk menamatkan perjanjian penggunaan Karolyi Ranch,” kata Kerry Perry yang berada di mahkamah Michigan minggu ini untuk mengikuti perjalanan sesi keterangan atlet wanita yang mendakwa Nassar atas tuduhan serangan seksual.

“Keutamaan kami ialah atlet dan persekitaran tempat latihan mereka pasti memberi kesan. Kami mahu menyediakan suasana serta sokongan penuh terhadap atlet kami.”

Dalam dakwaan Simone terhadap serangan seksual yang dilakukan Nassar ke atasnya, dia turut menyatakan rasa bimbangnya terhadap kemungkinan untuk kembali berlatih di Karolyi Ranch.

“Amat sukar untuk saya melupakan pengalaman buruk ini dan ia pasti lebih menyedihkan untuk kembali berlatih di venue di mana saya diperlakukan seperti itu. Saya perlukan ketenangan untuk menghadapi temasya Olimpik Tokyo 2020,” kata Simone.

Nassar, 53, didakwa mencabul lebih 100 atlet wanita sepanjang tiga dekad bekerja dengan skuad gimnastik AS dan Universiti Michigan.

Nassar yang berdepan hukuman penjara seumur hidup, mengaku salah atas tuduhan melakukan serangan seksual ke atas remaja perempuan yang datang mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 12:05pm
d