arena

Melaka sedia layan TFC II

Oleh Malik Muhamad

SKUAD Melaka United tidak akan memberi laluan mudah kepada Terengganu FC II (TFC II) biarpun sedar pasukannya bakal ditentang sengit pihak lawan dalam misi untuk melangkah ke pentas final kejohanan bola sepak empat penjuru merebut Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini.

Skuad bimbingan jurulatih kelahiran Portugal, Eduardo Almeida itu yang kini mengumpul tiga mata hasil kemenangan menewaskan Pahang 4-1 pada Selasa lalu, wajib menang untuk melangkah ke final bertemu TFC I esok manakala skuad TFC II yang bakal mempertaruhkan empat pemain importnya hanya memerlukan seri untuk layak.

Pertahanan baru skuad itu, Mohd Shazlan Alias berkata, biarpun beraksi di laman lawan, mereka tetap bersemangat memburu kemenangan untuk beraksi pada pentas final dalam kejohanan yang julung kali diadakan itu.

“Kami sedar laluan perit bakal menanti pasukan apatah lagi skuad TFC II sudah pasti mahu merakam kemenangan sebagaimana ketika mengejutkan TFC I untuk beraksi dalam perlawanan akhir bertemu pasukan ‘abangnya’ itu.

“Namun bagi kami walaupun kejohanan ini lebih kepada untuk menguji persiapan pasukan dalam aksi pramusim ini sebelum kejohanan sebenar bermula 3 Februari depan, kejohanan ini tetap penting bagi kami sebagai motivasi dan pemangkin semangat untuk beraksi lebih baik,” kata pemain kelahiran kampung Jeram, Kuala Terengganu itu.

Dalam perlawanan kedua, Rabu lalu, Melaka yang mendapat sentuhan penolong jurulatih, Norizam Ali Hassan mengalami kekalahan besar 0-5 kepada TFC I dan mereka perlu mempamer aksi bertenaga untuk menang.

Mengulas lanjut, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pemain Harimau Muda itu tetap optimis pasukannya mampu mempamer aksi terbaik.

“Kami tetap menghormati pasukan dari Terengganu itu selepas mereka menumpaskan TFC I sebelum ini, namun dalam masa sama kami juga bertekad memperagakan aksi terbaik untuk beraksi di final,” kata bekas pertahanan kanan skuad Negeri Sembilan, T-Team, Selangor dan Sime Darby FC itu yang menyasarkan satu trofi bersama Melaka musim ini.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 2:23pm
d