arena

City idam 'hadiah' buat Guardiola

Oleh AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Manchester City merancang memberikan hadiah hari lahir tertangguh buat Pep Guardiola dalam usaha bangkit daripada kekalahan pertama Liga Perdana Inggeris selepas sembilan bulan apabila menentang Newcastle malam esok.

Pengurus City Guardiola, yang menyambut hari lahirnya hari ini, menyaksikan rekod 30 perlawanan tanpa kalah dimilikinya lebur dalam aksi mendebarkan di tangan Liverpool 3-4 Ahad lalu.

Ini bermakna kelebihan City di puncak liga kini tinggal 12 mata, apabila Manchester United naik ke tangga kedua dengan menewaskan Stoke Isnin lalu.

Guardiolajuga berulang kali meluahkan kebimbangannya, apabila memberitahu sebelum perlawanan Liverpool bahawa City juga berisiko hilang gelaran.

Jurulatih Sepanyol itu juga berkata ujian sebenar terhadap pasukannya akan hadir mengenai bagaimana mereka bangkit apabila akhirnya tewas perlawanan liga dan beliau akan mengetahui kebenarannya hujung minggu ini.

“Kami tewas kepada pasukan Liverpool yang hebat. Kami perlu pastikan dapat memenangi perlawanan berikutnya dan berjuang hingga ke akhirnya untuk menjulang gelaran Liga Juara-Juara,” kata Guardiola.

“Kami perlu berjuang terutamanya dalam liga ini dengan begitu banyak perlawanan dalam tempoh dua bulan dan empat kejohanan. Kini, kami perlu menganalisis semuanya dan bersikap positif.

“Orang ramai bertanya jika perjuangan kami selesai sebelum Krismas dan kini Januari tiba dan ia masih belum selesai. Banyak perlawanan yang perlu dimenangi untuk muncul juara.”

Perkembangan di luar padang City tidak menentu minggu ini, selepas menghentikan percubaan mendapatkan penyerang Arsenal Alexis Sanchez, namun terus mengikat bek tengah Nicolas Otamendi dengan kontrak lanjutan sehingga 2022.

Otamendi menjadi pemain utama City musim ini sehinggakan Guardiola menyifatkannya sebagai ‘Superman’, dan pengaruhnya di padang terbukti dengan reaksi positif diberikan pemain pertahanan John Stones dan penjaga gol Ederson terhadap kesilapan yang memberikan gol buat Liverpool hujung minggu lalu.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 2:57pm
d