arena

PBBM tidak mahu kes Sazali berulang

Oleh Azlan Muhammad Zain

PERSEKUTUAN Bina Badan Malaysia (PBBM) mahu memastikan rekod bersih atlet negara tanpa sebarang penggunaan bahan terlarang berterusan tahun ini.

Kali terakhir bina badan terpalit dengan penggunaan bahan terlarang pada 2015 apabila Mr Universe, Sazali Samad positif.

“Ia kali terakhir atlet negara terbabit doping. Selepas itu pada 2016 dan 2017, tiada atlet yang ‘kantoi’ menggunakan bahan terlarang.

“Seperti kebiasaannya kita tetap menjalankan ujian setiap tahun sebelum atlet dihantar menyertai Mr Asia dan Universe dengan hasilnya negatif sejak dua tahun lalu.

“Jadi, kita berharap perkembangan positif ini akan berterusan pada 2018,” jelas Setiausaha Kehormat PBBM, Kamarulzaman Kadir.

Bagaimanapun, Kamarulzaman berkata, tumpuan bukan saja kepada atlet yang menyertai kejohanan antarabangsa dengan saingan seperti merebut gelaran Mr Malaysia turut diberi perhatian.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) bagi membanteras perkara ini. Malah kursus serta pendidikan berterusan satu perkara yang perlu dititikberatkan,” tambahnya.

Sebanyak lima kes gagal doping dilaporkan berlaku tahun lalu menerusi angkat berat, muay thai, berbasikal, terjun dan hoki.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 3:12pm
d