arena

Petinju mampu akhirnya kemarau pingat

Oleh Jumiati Rosly

MAJLIS Sukan Negara (MSN) yakin petinju negara mampu mengakhiri kemarau 16 tahun pingat di Sukan Komanwel Gold Coast, April ini.

Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) sekadar meletakkan peringkat suku akhir sebagai sasaran ke atas sandaran utama, Muhamad Fuad Mohd Redzuan dalam kategori lightfly 49 kilogram

“Sasaran yang diletak persatuan kepada Fuad adalah suku akhir tetapi berdasarkan perbincangan lanjut, kita boleh menjangkakan pingat.

“Ia bagaimanapun bergantung kepada undian peringkat awal sama ada menyebelahi dia (Fuad),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama PTAM di MSN di sini hari ini.

“Cuma kita bimbang dengan petinju dari negara Afrika yang diketahui bagus dalam kategori yang Fuad sertai (lightfly).”

Jefri berkata, seorang lagi petinju yang disenaraikan ke Sukan Komanwel, Abdul Salam Kasim (kategori flyweight -52kg) akan menyertai kem latihan tidak lama lagi.

“Sebelum ini, isu Salam timbul daripada segi komitmen dengan kita kerana dia (Salam) nak bekerja.

“Kita sudah bincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi membolehkan dia dapat pekerjaan dan selepas itu dipinjamkan kembali kepada MSN,” katanya.

Jefri berkata permohonan Salam sedang diproses selepas pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama pihak berkenaan dan memerlukan sedikit masa lagi untuk diselesaikan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PTAM, Mohd Iruan Zulkifli berkata badan induk itu mendapat kelulusan menghantar Fuad dan Salam menjalani latihan selama dua minggu di Uzbekistan, awal bulan depan sebagai persiapan menghadapi temasya kedua terbesar dunia itu.

Katanya, kedua-dua petinju itu juga akan menyertai Terbuka India hujung bulan ini dan PraSukan Asia pada 10 hingga 18 Februari ini.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 5:48pm
d