arena

TLHT mahu tiga mata

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Muhammad Harun Al-Rashid Samri tidak mahu barisannya mencicirkan mata lagi apabila turun bertemu KL Wipers pada perlawanan kedua Liga Hoki Wanita Malaysia, esok.

TLHT selaku juara bertahan bernasib baik apabila berjaya meraih satu mata ketika seri 1-1 dengan seteru utama, Blue Warriors pada perlawanan pertama liga semalam selepas memperoleh gol penyamaan di minit-minit akhir.

Namun, Harun mengakui beliau tidak mahu keputusan lain selain daripada kemenangan apabila bertemu lawan yang mempunyai kemampuan jauh lebih rendah berbanding anak buahnya seperti KL Wipers.

“Kami tidak mampu memikul beban tewas kepada pasukan seperti ini kerana memang sepatutnya kami mampu meraih tiga mata penuh.

“Jika kami mencicirkan mata, ia akan memberikan kesukaran untuk mempertahankan kejuaraan liga,” katanya.

Harun bagaimanapun mengakui barisan pemainnya ketika ini tidak mempunyai kekuatan sama seperti pasukan musim lalu.

“Hampir 80 peratus daripada pemain yang beraksi musim lalu terutamanya pemain berstatus kebangsaan sudah berhijrah ke pasukan lain musim ini.

“Jadi, yang tinggal sekarang hanya beberapa pemain kebangsaan dengan rata-rata barisan yang ada adalah untuk persiapan ke SUKMA (Sukan Malaysia).

“Memang kami tampil selaku juara bertahan, tetapi hakikatnya kami bukanlah pasukan pilihan untuk musim ini,” katanya.

Jadual esok

KL Wipers mln TLHT, 5 ptg

(Std Hoki Kuala Lumpur)

MSN Kedah mln PKS Uniten-KPT, 5 ptg

(Padang SMK Dato Lela Pahlawan, Kulim)

Penang Juniors mln UiTM-KPT, 5 ptg

(Std Hoki USM)

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 5:52pm
d