arena

Laluan sukar menanti Woods

Oleh AFP

California: Tiger Woods akan bersaing dengan lawan yang sukar termasuk empat daripada tujuh pemain teratas dunia di Kejohanan Terbuka Farmers Insurance di selatan California minggu depan.

Pemain nombor tiga dunia dari Sepanyol, Jon Rahm, pemain nombor lima dunia dari Jepun, Hideki Matsuyama, Justin Rose dan Rickie Fowler sudah mengesahkan penyertaan masing-masing di acara Jelajah PGA itu yang bakal berlangsung di Torrey Pines, Khamis minggu depan.

Bekas pemain nombor satu dunia, Jason Day dan juara lima kejohanan utama, Phil Mickelson turut sudah mengesahkan penyertaan.

Tetapi semua mereka mungkin tidak begitu diperhatikan kerana tumpuan lebih terarah kepada Woods yang kembali bermain di kejohanan rasmi pertamanya sejak berdepan masalah belakang, April tahun lalu.

Kumpulan untuk dua pusingan awal masih belum diumumkan tetapi Woods dijangka bermain dalam kumpulan sama dengan Rahm dan Fowler.

Woods beraksi di kejohanan tidak rasmi, Cabaran Wira Dunia di Bahamas, Disember lalu dan menamatkan saingan di kedudukan kesembilan berbanding 18 pemain.

Tetapi aksi di Torrey Pines - lapangan yang menyaksikan dia menang lapan kali sebelum ini - bakal menjadi acara rasmi pertamanya dan pemain berusia 42 tahun itu berharap ia akan berlangsung baik dalam usaha menyiapkan diri untuk menyertai Masters, April nanti.

Woods pernah menjulang Terbuka Farmers Insurance sebanyak tujuh kali tetapi aksi terbaiknya di Torrey Pines berlaku ketika Terbuka AS 2008 yang menyaksikan dia muncul juara.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 8:32am
d