arena

Brooks Koepka berehat 10 minggu

Oleh AFP

LOS ANGELES: Juara Terbuka AS, Brooks Koepka berkata, dia terpaksa berehat selama 10 minggu selepas tendon pergelangan tangan koyak dan berharap dapat kembali bermain di Masters, April nanti.

“Saya kecewa kerana tidak dapat bermain mengikut jadual yang sudah saya tetapkan sebelum ini,” kata Koepka dalam satu kenyataan. “Tetapi saya yakin dengan doktor serta bentuk rawatan yang diberikan dan saya tidak sabar untuk bermain di Masters.”

Koepka menamatkan saingan di tangga terakhir daripada 34 pemain yang menyertai Kejohanan Juara-Juara di Hawaii dua minggu lalu. Dia beraksi dalam keadaan tangannya yang sakit ketika turut menamatkan saingan di tempat tercorot di Cabaran Wira Dunia, Disember lalu.

“Saya rasa seolah-olah seseorang sedang menikam pergelangan tangan saya dengan pisau,” katanya di Hawaii.

Selepas menjalani pemeriksaan, tendon pergelangan tangannya didapati koyak.

Proses penyembuhan yang bakal dijalani pemain nombor lapan dunia itu akan menyaksikan dia terlepas kejohanan Terbuka Phoenix dan Pro-Am Pebble Beach serta dua siri Kejohanan Golf Dunia.

Jika semuanya berjalan lancar, dia akan kembali bermain pada 30 Mac iaitu sejurus sebelum bermulanya Masters.

Masters yang menjadi kejohanan utama pertama tahun ini, akan dilangsungkan di Lapangan Kebangsaan Augusta pada 5 April.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 8:39am
d