arena

Rizal mahu julang gelaran bersama Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

SELEPAS gagal membantu Selangor meraih sebarang kejuaraan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim lalu, pertahanan kental Negeri Sembilan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid mahu memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan barunya dengan sasaran menjulang satu daripada tiga trofi yang menjadi taruhan musim ini.

Pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu yakin Negeri Sembilan yang dibimbing pengendali Jerman, Jorg Steinnebrunner dan dibantu Mohd Asri Ninggal memiliki ramuan terbaik untuk merealisasikan sasaran berkenaan.

Katanya, gabungan pemain muda dan berpengalaman selain lima pemain import yang memiliki rekod baik di pentas antarabangsa serta memahami budaya bola sepak di rantau ini, menjadi nadi penting dalam misi menjulang nama skuad Hobin Jang Hobin.

“Saya percaya Negeri Sembilan yang menampilkan ramai pemain muda dan berpengalaman termasuk lima import, bukan saja mampu memberikan saingan malah diyakini berupaya menjulang salah satu kejuaraan yang disasarkan musim ini.

“Nama-nama seperti Mohd Fauzan Mustafa, Noor Hazrul Mustafa, Nasriq Baharom, Mohd Khairul Izuan Rosli, N Thanabalan dan Kaharuddin Abd Rahman adalah antara pemain tempatan yang bakal menjadi tunjang kepada kekuatan Negeri Sembilan musim ini.

“Kami akan dibantu lima pemain import iaitu Madhu Mohana, Kim Do Heon, Flavio Junior, Nicholas Velez dan Renars Rode.

“Secara peribadi, saya dapatkan rasakan gandingan pemain ini mampu meletakkan Negeri Sembilan selaku pencabar terkuat Liga Super dan saya impikan untuk mencipta rekod terbaik musim ini,” katanya, selepas sesi latihan di Bandar Sri Sendayan, hari ini.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 12:57pm
d