arena

Simona berhempas atasi Lauren

Oleh AFP

MELBOURNE: Pilihan utama, Simona Halep terpaksa berhempas pulas termasuk menyelamatkan tiga mata akhir sebelum menang 4-6, 6-4, 15-13 ke atas Lauren Davis dalam pertarungan epik pusingan tiga Terbuka Australia hari ini.

Sekali pun tidak diletakkan sebagai pemain pilihan, Davis yang turut berdepan kesukaran termasuk kehilangan kuku di kaki kirinya serta terpaksa dirawat dua kali oleh fisioterapi jelas tampil dengan aksi mengagumkan tatkala set ketiga saja berlangsung selama 2 jam 22 minit.

Keazamannya terbukti selepas pemain di ranking ke-75 dunia itu tiga kali mematahkan servis Halep selain melakukan 52 pukulan mata di keseluruhan gelanggang.

Halep yang juga pemain nombor satu dunia turut dipalit masalah pergelangan kaki begitupun tetap berjaya untuk mendapatkan servis buat kali keempat sebelum memuktamadkan perlawanan dalam tempoh 3 jam 44 minit.

“Saya tidak pernah bermain di set ketiga sepanjang ini. Saya hampir mati,” kata Halep dengan semua penonton berdiri sebagai pujian terhadapnya selepas menang di Rod Laver Arena.

“Semua otot saya seperti sudah tiada. Saya tidak dapat berasa buku lali saya lagi.”

Lawan Halep dari Romania selepas ini ialah sama ada pilihan ke-18, Ashleigh Barty dari Australia atau pemain Jepun, Naomi Osaka di peringkat seterusnya selepas mengharungi perlawanan paling panjang bagi kategori wanita tahun ini.

Perlawanan Halep-Davis mengatasi tempoh 3 jam 1 minit yang dibuat oleh Irina-Camelia Begu juga dari Romania untuk menewaskan pemain Russia, Ekaterina Makarova 3-6, 6-4, 8-6 pada pusingan pertama, Isnin lalu.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 5:49pm
d