arena

Skuad B-23 makin popular

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Kunshan

SELEPAS membuat kejutan mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun, populariti skuad muda negara mula meningkat.

Bukan saja di kalangan peminat tempatan malah penyokong luar negara turut mula buka mata.

Perkara itu diakui sendiri Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang menyatakan peminat di Jepun mengharapkan Malaysia menewaskan musuh utama mereka Korea Selatan pada aksi suku akhir di Stadium Kunshan, jam 4 petang hari ini.

“Pasukan Jepun tewas semalam kepada Uzbekistan (0-4), jadi kami kini berharap Malaysia dapat menang ke atas Korea Selatan untuk bertemu Uzbekistan di peringkat seterusnya.

“Jepun dan Korea Selatan memang seteru utama, jadi peminat Jepun pasti akan menyokong Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kunshan.

Hamada diiringi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin menyerahkan minuman probiotik, Yakult kepada pemain skuad B-23 sebelum sepak mula menentang Korea Selatan.

Kunjungan Yakult yang juga penaja rasmi probiotik FAM, sebagai memberikan sokongan kepada pasukan muda negara.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 6:48pm
d