arena

Marcote pertahankan Pallares

Oleh Izzali Ismail

KETUA jurulatih Kedah, Ramon Marcote tampil mempertahankan Pablo Pallares di sebalik keraguan di kalangan penyokong mengenai kemampuan penyerang itu untuk menerajui jentera serangan Helang Merah.

Menurut Marcote, masih terlalu awal membuat penilaian terhadap prestasi pemain Sociedad Deportiva Ponferradina itu dan optimis betapa penyerang berusia 30 tahun berkenaan mampu menyinar dengan sokongan serta keyakinan semua pihak.

“Dia seorang pemain bagus dan memiliki kepantasan serta tandukan yang baik. Jadi, saya yakin dia mampu membantu pasukan meraih kejayaan.

“Sebagai seorang pemain, potensi dan kualiti sahaja tidak mencukupi kerana mereka memerlukan tahap keyakinan tinggi. Saya mempercayai kemampuannya tetapi untuk berjaya, dia memerlukan keyakinan semua pihak termasuk sokongan peminat.

“Saya berharap Pallares mendapat keyakinan melalui sokongan semua pihak di sekelilingnya dan saya yakin dia mampu menjadi peledak berbisa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Marcote yang juga bekas penyelia metodologi Atletico Madrid mengakui Pallares memahami harapan tinggi penyokong dan sedang bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan taktikal dan corak permainan pasukan.

“Motivasi yang ditunjukkan oleh rakan sepasukan, faktor sekeliling mampu menjadi penggerak dan mempercepatkan proses penyesuaian yang dinantikan oleh semua peminat.

“Malah, jika dilihat prestasi semasanya agak memberangsangkan dengan dua gol dalam empat perlawanan iaitu satu gol ketika Piala Super Suramadu dan satu lagi ketika aksi persahabatan bertemu PKNP FC.

“Perkembangan positif itu memberi bayangan Pallares mampu menyumbat gol dan harus diingat dia menjaringkan gol ketika Piala Super Suramadu tanpa kehadiran Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 8:35pm
d