arena

Aksi sudah setaraf gergasi Asia

Oleh Zulfaizan Mansor

BEKAS jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar menyifatkan corak permainan barisan pemain bawah 23 (B-23) tahun negara sudah hampir setaraf dengan beberapa pasukan gergasi bola sepak di benua Asia.

Mohamad berkata demikian selepas melihat peningkatan mendadak dalam persembahan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu walaupun terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-2 kepada Korea Selatan pada suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), hari ini.

Malah, beliau percaya skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bakal mengundang kebimbangan di kalangan pasukan lawan dan tidak lagi akan dilabel sebagai pasukan belasahan jika ada kejohanan lain selepas ini.

“Kita perlu kekalkan pasukan ini dan jaga semua pemain elok-elok. Kita boleh nampak peningkatan yang sangat positif hingga pasukan kuat seperti Korea Selatan pun dilihat bermain kelam kabut.

“Cuma permulaan saja kita silap sikit, tapi pemain tak putus asa dan berjaya bangkit menyamakan kedudukan. Malah, selepas Korea Selatan jaringkan gol kedua pun pemain masih lagi bersemangat untuk bangkit hingga wisel penamat.

“Semangat seperti ini yang kita semua nak tengok. Korea Selatan hanya memiliki sedikit kelebihan dari aspek kemahiran individu pemain mereka terutama di posisi penyerang yang berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan kita,” katanya.

Biarpun terkandas di suku akhir, namun pencapaian itu selepas mengejutkan Arab Saudi 1-0 pada peringkat Kumpulan C sudah boleh dibanggakan.

Aksi cemerlang beberapa tonggak sepanjang kejohanan peringkat Asia itu juga dianggap bakal membawa nafas baharu buat masa depan bola sepak negara.

Malah, jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah mengakui terpikat dengan beberapa anak buah Kim Swee dan bersedia memanggil mereka beraksi bersama skuad senior.

Mohamad yang juga bekas penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980 turut berpendapat tujuh hingga lapan pemain skuad B-23 perlu memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

“Kita kena asah lagi pemain ini dan ramai di antara mereka sudah boleh bermain untuk skuad senior. Buat apa kita masih nak ambil pemain yang lama lagi.

“Beberapa pemain seperti Safawi Rasid, Syazwan Andik Ishak, Matthew Davies, Akhyar Rashid dan penjaga gol, Haziq Nadzli mungkin boleh diserapkan ke skuad senior,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 9:11pm
d