arena

Jae-wan catat rekod gol terpantas

KUNSHAN: Pemain Korea Selatan, Cho Jae-wan (gambar) meletakkan dirinya dalam rekod Kejohanan AFC B-23 apabila meledak gol terpantas dalam tiga edisi terakhir kejohanan itu, dan yang kedua terpantas dalam sejarah kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tonggak tengah Seoul E-Land FC itu mencipta jaringan hanya selepas 11.35 saat perlawanan, ketika berdepan Malaysia di suku akhir, hari ini, sekali gus mengatasi rekod sebelum ini 11.47 saat yang dipegang pemain Uzbekistan, Dostonbek Khamdamov pada 2016 di Qatar.

Jaringan pantas Cho itu bagaimanapun belum mampu untuk mengatasi rekod Sebastian Soria pada 2013 yang meledak gol ketika perlawanan hanya berlangsung 9.34 saat untuk Lekhwiya mendahului Pakhtakor dalam aksi Liga Juara AFC di Tashkent.

Sementara itu, Ali Mabkhout kekal penjaring gol terpantas perlawanan akhir Piala AFC apabila meledak gol ketika masa perlawanan berlangsung 14 saat ketika Emiriah Arab Bersatu (UAE) menentang Bahrain di Australia.

Pada aksi hari ini, jaringan kelebihan Korea Selatan hasil jaringan Cho itu bagaimanapun ditamatkan dengan gol penyamaan pemain gantian N Thanabalan pada babak kedua.

Impian skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk melakar satu lagi kejutan selepas menumpaskan Arab Saudi 1-0 pada peringkat Kumpulan C bagaimanapun berkecai selepas Han Seung Gyu meledak gol kemenangan Korea Selatan lima minit sebelum permainan tamat.

Biarpun tewas, kejayaan mara ke pusingan suku akhir dan menundukkan pasukan kuat seperti Arab Saudi sudah menjadi satu pencapaian yang boleh dibanggakan buat Malaysia, apatah lagi tampil sebagai pasukan bukan pilihan dalam kejohanan.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 9:57pm
d