arena

KL perkenal jersi baru

Oleh Syafiq Aznan

PENDATANG baharu Liga Super, Kuala Lumpur memperkenalkan jersi pasukan itu yang akan digunakan bagi mengharungi musim 2018.

Jersi terbabit didatangkan dalam tiga warna iaitu merah untuk jersi di laman sendiri, biru untuk jersi di tempat lawan sementara ungu sebagai jersi ketiga.

Jersi terbabit akan digunakan oleh skuad Liga Super, Piala Presiden dan juga Piala Belia Kuala Lumpur untuk musim ini.

Selain pelancaran jersi, semua pemain daripada tiga skuad yang akan mengharungi tiga saingan terbabit turut diperkenalkan pada majlis sama.

Majlis pelancaran jersi itu dilangsungkan di Berjaya Times Square dan disempurnakan oleh Penaung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Majlis turut dimeriahkan dengan lebih ratusan penyokong setia skuad The Hawks yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan pelancaran jersi baharu pasukan kesayangan mereka itu.

Kuala Lumpur layak ke saingan Liga Super selaku juara Liga Perdana musim lalu mengetepikan Terengganu sekali gus menamatkan penantian lima tahun selepas tersingkir ke Liga Perdana pada 2013.

Anak buah Fabio Maciel itu bakal mengharungi aksi ‘Derbi Lembah Klang’ bertemu Selangor pada perlawanan pembukaan mereka di Stadium Cheras, 4 Februari ini.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 12:36am
d