arena

Pelancaran logo, maskot dan lagu Sukma meriah

Oleh Azizan Hashim

PELANCARAN logo, maskot dan lagu serta Sukan Malaysia ( SUKMA) ke-19 Perak 2018 berlangsung penuh meriah di Bulatan Amanjaya, Bandar Meru Raya, malam ini.

Majlis pelancaran temasya dwi tahunan terbesar tanah air itu bertemakan “Wow ! Kita Hebat! disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Meskipun hujan renyai, kira-kira 5,000 tetamu termasuk, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan fokus menyaksikan perasmian itu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Exco Belia dan Sukan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Jalal Ghazali dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ismail yang juga tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Zambry dalam ucapan perasmiannya berharap SUKMA ke-19 itu akan menjadi temasya terbaik pernah dianjurkan.

Selain itu beliau berharap atlet tuan rumah mengusahakan pencapaian terbaik bagi memastikan kejayaan cemerlang Perak pada temasya itu.

“Saya yakin atlet Perak boleh kerana kita hebat,” katanya.

Pada majlis itu juga Maskot baru SUKMA ke-19 yang dikenali sebagai ‘Chor ‘ diperkenalkan menggantikan maskot SUKMA 1994 iaitu Yob.

Buat pertama kali juga lagu rasmi temasya berjudul ‘Wow! Kita The Greatest!’ ciptaan Datuk Wah Idris didendangkan.

Majlis ditamatkan dengan Zambry melepaskan peserta kayuhan Basikal Wow! Kita Hebat!.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 12:50am
d