arena

Adnan galas tugas lebih besar

Oleh Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Selepas membantu skuad memanah compound negara memenangi empat pingat emas pada Sukan SEA Singapura 2015, Adnan Ahmad diberi kepercayaan lebih besar apabila dilantik membimbing pasukan menghadapi Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Setiausaha Agung Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hassan berkata, badan induk itu sudah mencadangkan jurulatih yang kini berkhidmat di Universiti Sultan Zainal Abidin itu kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

“Pada dasarnya beliau (Adnan) sudah bersetuju dan MSN akan mengeluarkan surat tawaran selepas ini,” katanya.

Keputusan NAAM itu menyaksikan Adnan kembali membimbing pasukan selepas Singapura 2015 sekali gus mengambil tugas Muhammad Zaki Mahzan yang membantu negara memenangi tiga emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Zaki bagaimanapun mengambil keputusan tidak menyambung kontrak bersama MSN, sebaliknya menandatangani kontrak bersama Persatuan Memanah Negeri Kedah.

Sementara itu, Hamid berkata, tiga pemanah compound lelaki Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip serta seorang pemanah compound wanita, Fatin Nurfatehah Mat Salleh bagaimanapun akan menjalani latihan secara berfasa berikutan komitmen terhadap kerja masing-masing biarpun ditawarkan mengikuti latihan sepenuh masa.

“Mereka akan datang ke sini sebelum menyertai sebarang kejohanan luar negara yang akan disertai, namun pada masa sama mereka akan dipantau oleh jurulatih di tempat latihan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, semua pemanah akan dikumpulkan menyertai kem latihan berpusat selama sebulan di Bukit Jalil sebelum Sukan Asia.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 4:15am
d