arena

18 aksi tanpa kalah tak penting: Klopp

Oleh AFP

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tegas mengatakan bahawa beliau tidak mahu terlalu memikirkan catatan 18 aksi tanpa kalah pasukannya sebaliknya sedang menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang Swansea City, esok.

Skuad kendalian Klopp itu mempamer kecemerlangan setakat ini dan mereka muncul satu-satunya pasukan yang berjaya menamatkan impian Manchester City untuk menamatkan musim ini tanpa sebarang kekalahan.

Reds juga mudah membenam Swansea 5-0 sehari selepas Krismas lalu tetapi Klopp memberitahu pemainnya supaya segera melupakan soal statistik dan menumpukan perhatian kepada tugas yang perlu mereka hadapi di selatan Wales esok.

“Jika tidak ada orang memberitahu saya berapa perlawanan yang kami tidak tewas, saya sendiri pun tidak akan tahu,” katanya.

“Ia sudah berlalu dan saya tidak berminat untuk mengetahuinya. Anda hanya boleh memikirkan soal itu selepas musim ini berakhir nanti. Ia tidak penting.”

Jurulatih Jerman itu menambah: “Ketika ini kami berada dalam keadaan baik. Saya melihat pemain berlatih setiap hari, itulah kenyataannya. Itu sebabnya mengapa kami boleh bermain baik.

“Tetapi kami perlu mengulanginya. Sebagai pemain Liverpool, anda tidak boleh bermain baik pada satu perlawanan dan buruk pada perlawanan seterusnya. Kami perlu konsisten, setiap hari dan setiap perlawanan.

“Ia hanyalah satu lagi perlawanan dan saya tidak pernah fikir bahawa ada aksi yang mudah di Liga Perdana. Dan Swansea sudah tentu bukan mudah untuk kami atasi.

“Mungkin mereka sedang menduduki kelompok terbawah liga tetapi mereka sebenarnya cukup baik. Sejak mereka dikendalikan pengurus baru, anda sendiri sudah lihat peningkatan mereka.”

Klopp turut mendedahkan bahawa Loris Karius akan terus menjaga gawang Liverpool sambil Simon Mignolet direhatkan dan ia memberi peluang kepada pemain Jerman itu untuk membuktikan kemampuannya.

“Sudah tentu Loris perlu buktikan sesuatu tetapi ketika ini dia memang nombor satu,” kata Klopp.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 10:24am
d