arena

Wafie dibayangi Helmi, Remezey

Oleh Asrol Awang

PENJAGA gol baru Pahang, Mohd Wafieyuddin Mohd Shamsudin mengaku perlu bekerja keras untuk mengisi tempat selaku penjaga gol utama skuad musim ini.

Biarpun ia dilihat sukar, pemain berumur 28 tahun itu sedia bersaing biarpun bakal dibayangi dua penjaga gol berpengalaman, Helmi Eliza Elias dan Remezey Che Ros.

Wafieyuddin yang beraksi bersama Shahzan Muda musim 2013-2017 berkata, dengan pengalaman yang dimiliki, diharap dapat membantunya mengawal benteng terakhir Pahang.

Katanya, segala-galanya sudah dilakukan kerana impian untuk bersama skuad Tok Gajah kini termakbul walaupun mengambil tempoh yang agak lama merealisasikan hasrat itu.

“Namun, sebagai pemain yang sudah lama bermain dengan Shahzan Muda iaitu lima musim sejak 2013, ia banyak membantu meningkatkan kualiti permainan.

“Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberi Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk bersama memperkasakan pasukan musim ini,” katanya.

Bagi saingan musim ini, posisi penjaga gol utama menjadi tumpuan selepas Wan Azraei Wan Teh berhijrah ke Terengganu sekali gus menjadi rebutan antara tiga pemain lain iaitu Helmi, Remezey dan Mohd Daniel Wafiuddin Sadun.

Dalam pada itu, Wafieyuddin berkata, sumber inspirasi utamanya adalah bekas rakan sepasukan ketika dalam skuad Piala Presiden iaitu Khairul Azhan Mohd Khalid yang kini penjaga gol Selangor.

“Apa yang perlu dilakukan adalah mengikut segala arahan jurulatih serta meningkatkan lagi ketangkasan serta kekuatan mental kerana saingan Liga Super lebih sengit berbanding Liga FAM,” katanya.

Musim lalu, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu membantu Shahzan Muda layak ke separuh akhir Liga FAM.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 12:01pm
d