arena

Aguero ledak hatrik bantu City

Oleh AFP

LONDON: Sergio Aguero meledak hatrik untuk memastikan kemenangan 3-1 Manchester City ke atas Newcastle United malam tadi sekali gus mengekalkan kelebihan 12 mata selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Sebelum ini, rekod tanpa kalah City dalam 30 perlawanan liga lebur selepas tewas 3-4 kepada Liverpool di Anfield.

Namun, kejayaan City mengembalikan rentak kemenangan mereka memastikan skuad kendalian Pep Guardiola itu memerlukan 10 kemenangan lagi untuk bergelar juara musim ini.

Pada aksi di Etihad malam tadi, Aguero membuka jaringan di minit ke-34 selepas menyempurnakan hantaran lintang Kevin De Bruyne sebelum bintang Argentina itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63.

Empat minit selepas itu, Newcastle meraih gol pertama menerusi Jacob Murphy namun Aguero yang kini penjaring terbanyak sepanjang zaman City melengkapkan hatrik ke-11 dirinya buat kelab itu.

“Selepas aksi minggu lalu, kami begitu memerlukannya (kemenangan). Ia satu musim yang panjang dan kami masih belum memenangi apa-apa lagi,” kata Aguero.

“Untuk muncul juara, kami perlu 10 lagi kemenangan. Bagaimana tindak balas kami ketika kedudukan 2-1 nyata begitu penting apabila kami tidak terlalu panik,” kata Guardiola.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 12:24pm
d