arena

Prestasi tak menentu resahkan Almeida

Oleh Faizul Azlan Razak

PRESTASI kurang meyakinkan skuad Melaka United kian meresahkan pengendalinya, Eduardo Almeida ketika sepak mula Liga Super hanya berbaki dua minggu lagi dengan Kelantan bakal menjadi lawan pertama, 3 Februari ini.

Ketua jurulatih kelahiran Portugal yang pernah membimbing T-Team pada 2013 dan 2014 itu mengaku kecewa apabila anak buahnya masih belum mempamer aksi yang diidamkan.

Malah katanya, pasukannya hanya mencatat satu kemenangan daripada enam aksi pramusim yang diharungi termasuk siri jelajah di Vietnam, bulan lalu.

“Saya akui kurang gembira dengan corak permainan pasukan yang masih di bawah prestasi sebenar. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan pemain mesti bekerja ke arah itu kerana masa semakin suntuk buat kami,” katanya.

Melaka yang menyertai Piala Menteri Besar Terengganu yang berakhir malam tadi hanya mencatat satu kemenangan iaitu 4-1 ke atas Pahang sebelum dibelasah 0-5 oleh tuan rumah, Terengganu FC I (TFCI) dan TFC II (3-4).

Pengendali berusia 40 tahun itu berkata, pasukannya akan mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan selepas ini bagi membentuk keserasian dan kesefahaman.

Katanya, dua perlawanan itu bukan saja medan untuknya menilai dan mengenalpasti kesebelasan utama, malah memperkemaskan corak permainan.

“Apa yang paling penting pemain perlu mengubah sikap mereka dengan mengurangkan melakukan kesilapan mudah di atas padang selain bersedia untuk aksi pembuka tirai Liga Super,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 12:41pm
d