arena

Mereka masih mentah: Santokh Singh

Oleh Rodly Fadly

BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh berharap agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak terburu-buru menaikkan pangkat pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) sebagai pasukan senior sekalipun mereka menunjukkan aksi membanggakan di Kejohanan Bolasepak Asia B-23, di China.

Ia kerana lagenda bola sepak itu beranggapan anak buah Datuk Ong Kim Swee masih lagi mentah serta belum berkemampuan untuk memikul tanggungjawab sebagai pasukan utama negara.

“Kita memang akui pencapaian di China adalah yang terbaik oleh skuad muda negara di peringkat Asia. Ia menunjukkan satu peningkatan serta memberi harapan baru kepada bola sepak negara.

“Tapi kita jangan terlalu ghairah kerana mereka sekadar layak ke suku akhir, bukannya menjuarai kejohanan itu. Jika ada yang beranggapan skuad ini sudah layak menggantikan skuad kebangsaan ia adalah satu kesilapan.

“Mereka belum matang untuk memikul tugas besar. Saya lebih suka melihat pasukan ini kekal sebagai skuad pelapis. Mungkin mereka memerlukan dua atau tiga tahun lagi untuk mengambil alih skuad kebangsaan sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Santokh bersetuju jika beberapa pemain muda diserap ke dalam skuad utama sebagai medan pendedahan sambil dibimbing pemain senior.

Santokh memberi pandangan ekoran keghairahan peminat yang menganggap sudah sampai masanya skuad kebangsaan sekarang dibubar serta digantikan dengan pasukan B-23.

Skuad bimbingan Kim Swee itu mencipta sejarah apabila layak ke suku akhir kejohanan berkenaan buat pertama kali.

Bagaimanapun, impian skuad B-23 untuk melakar sejarah lebih besar, terkandas apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan, semalam.

Sementara itu, bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mahu jumlah pemain untuk skuad itu dibesarkan agar mempunyai lebih banyak pilihan.

“Sekarang kita ada kira-kira 30 pemain dalam skuad ini, lebih cantik jika kita tambah kerana ia bukan saja memberi lebih banyak pilihan malah menambah daya saing di kalangan pemain,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 1:00pm
d