arena

Iman mahu kekal

Oleh Naqib Nor Said

PENOLONG jurulatih skuad hoki wanita negara, Iman Gobinathan mengakui masih berminat meneruskan khidmatnya bersama ketua jurulatih Dhaarma Raj Abdullah ketika kedudukannya ketika ini masih menjadi tanda tanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang belum menawarkan kontrak baharu kepadanya dijangka memutuskan masa depan bekas pertahanan kebangsaan itu dalam masa terdekat.

“Saya sudah dipanggil untuk bertemu Terry Walsh (Pengarah Teknikal MHC) dan Soon Mustafa (Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan) dalam tempoh terdekat ini. Apapun semuanya terpulang kepada MHC.

“Tetapi jika ditanya sudah tentu saya masih berminat untuk membangunkan pasukan wanita kebangsaan bersama Dhaarma Raj. Sudah dua tahun saya berkhidmat untuk membangunkan hoki wanita dan sudah tentu saya belum puas dengan kejayaan setakat ini,” katanya di sini, hari ini.

Berdasarkan kontrak asal dua tahun bersama MHC, Iman yang lebih mesra disapa sebagai Gobi pada awalnya ditawarkan tugas sebagai jurulatih pembangunan skuad hoki wanita negara, namun kemudiannya diarah menyiapkan pasukan hoki dalam dewan bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Masa depan jurulatih berusia 40 tahun itu mula menjadi tanda tanya sebaik berakhir temasya itu Ogos lalu yang menyaksikan skuad hoki wanita dalam dewan negara sekadar meraih gangsa sebelum MHC ‘menutup’ pasukan berkenaan.

Keputusan kurang popular itu memaksa badan induk itu tampil dengan idea menetapkannya sementara di bawah Dhaarma Raj bersama penolong jurulatih tetap Lailin Abu Hassan sehingga kontraknya berakhir pada 31 Januari ini.

Disiarkan pada: January 21, 2018 @ 9:30pm
d