arena

Depay sentap ego PSG

Oleh AFP

PARIS: Bintang Lyon, Memphis Depay meledak gol kemenangan pada lewat permainan untuk mengetepikan Paris Saint-Germain 2-1 sekali gus merapatkan jurang pemisah kepada lapan mata berbanding pendahulu Ligue 1 itu.

Nabil Fekir memberikan pendahuluan pada minit kedua buat tuan rumah di Stadium Groupama menerusi sepakan percuma menarik tetapi PSG menyamakan kedudukan sebelum rehat hasil rembatan voli pertahanan kiri, Layvin Kurzawa.

Pertahanan PSG, Dani Alves dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain lawan dan Lyon menggunakan kesempatan itu untuk melancarkan serangan bertali arus hingga membolehkan Depay yang masuk sebagai pemain gantian, menghasilkan gol kemenangan.

“Pada mulanya, saya mahu menghasilkan hantaran lintang tetapi selepas melihat penjaga gol tidak berada di kedudukannya, saya memilih untuk membuat cubaan,” kata Fekir kepada Canal+.

“Memang sukar untuk kami mengejar (PSG) dan kami hanya mahu menang untuk membolehkan kami ke Liga Juara-Juara.”

Pertahanan tengah PSG, Marquinhos menambah: “Bola sepak memang seperti ini. Mereka membuat asakan dan cubaan. Hasilnya mereka menjaringkan dua gol.”

Kemenangan itu membolehkan Lyon merampas tempat kedua yang sebelum ini dipegang Marseille.

Ini adalah kekalahan kedua buat PSG setakat ini tetapi skuad kendalian Bruno Genesio itu dilihat masih lagi sukar untuk di saingi mana-mana pasukan untuk gelaran liga.

“Kami gembira dengan keputusan ini terutamanya selepas kami menundukkan pendahulu. Kini kami menyasarkan untuk menamatkan musim di kedudukan kedua atau ketiga,” kata jurulatih Lyon, Genesio.

Ketika Neymar tidak bermain akibat cedera, Kylian Mbappe kembali disenaraikan ke dalam kesebelasan utama selepas dia menjaringkan gol ketika PSG membelasah Dijon 8-0 pertengahan minggu lalu yang menyaksikan Neymar meledak empat gol.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 10:01am
d