arena

Marcote tunjuk isyarat bagus

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

PENGENDALI Kedah, Ramon Marcote gembira dengan prestasi anak buahnya yang semakin menyerlah terutama ketika tirai saingan Liga Super semakin hampir untuk disingkap.

Segala-galanya dibuktikan ketika perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan malam tadi yang menyaksikan Lang Merah menang 2-1.

Marcote berkata, kemenangan itu menyuntik semangat baru buat semua pemain dalam persiapan pasukan tetapi ia tidak akan sesekali membuatkan mereka mendabik dada.

Katanya, untuk menjadi pasukan yang terbaik, mereka perlu memiliki kualiti dan setakat ini, beliau puas hati dengan persembahan anak buahnya termasuk pemain import yang sebelum ini dikritik hebat, Pablo Pallares.

“Meskipun dikritik teruk, Pablo menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang sebagai seorang penyerang berbisa dengan memiliki corak serta kemahiran serangan yang tinggi.

“Tidak dinafikan juga beberapa pemain lain seperti Liridon (Krasniqi), Sandro (De Silva) dan Baddrol (Bakhtiar) yang turut mempamerkan taring.

“Selepas ini, satu lagi perlawanan persahabatan akan diadakan menentang kelab Thailand, Suphanburi FC.

“Persiapan Kedah tidak akan terhenti begitu saja kerana kami bakal bertemu JDT bagi merebut Piala Sumbangsih pada 3 Februari,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 10:30am
d