arena

'Kami mahu Haikal!'

Oleh Attirmidzie Rahman

AKSI cemerlang pemain sayap, Haikal Nazri di sepanjang perlawanan pramusim sebelum ini mendorong penyokong setia The Red Warriors (TRW) untuk mengharapkan pemain itu terus kekal bersama Kelantan.

Pemain berusia 25 tahun itu adalah antara enam pemain yang bakal dipinjamkan ke pasukan lain oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam usaha mengurangkan kos perbelanjaan musim ini.

Bagaimanapun, Haikal menunjukkan aksi cemerlang ketika perlawanan persahabatan menentang Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) dan menjaringkan satu gol dalam perlawanan yang dimenangi TRW itu.

Presiden Kelab Penyokong TRW Lembah Klang, Mohd Faizal Hasbi berkata, Haikal seorang pemain yang berbakat besar selain mempunyai corak permainan pantas.

Katanya, penyokong percaya pemain itu mampu memperkuatkan barisan hadapan khususnya di posisi sayap pasukan.

“Bagi saya Haikal memang pemain terbaik dan saya ada beberapa kali melihat aksinya dalam perlawanan persahabatan dengan PJ Rangers baru-baru ini.

“Sepatutnya peluang dan ruang diberikan kepadanya untuk diserap dalam skuad TRW musim ini kerana kelebihan yang ada padanya mampu membantu pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Haikal yang juga bekas pemain Real Mulia dan FELCRA FC ketika dihubungi akur dengan keputusan KAFA untuk meminjamkannya ke pasukan lain.

“Apa-apa pun saya tetap akan berusaha menjadi yang terbaik buat mana-mana pasukan. Bagaimanapun, saya masih mengidam untuk terus beraksi bersama Kelantan kerana pasukan ini sebuah pasukan besar dan boleh membantu saya mengembangkan lagi bakat,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 4:07pm
d