arena

Weah angkat sumpah presiden Liberia

Oleh Reuters

MONROVIA: George Weah, bekas pemain bola sepak antarabangsa yang memenangi kerusi presiden Liberia bulan lalu, berjanji menangani isu rasuah ketika mengangkat sumpah hari ini dalam peralihan kuasa yang berlangsung secara aman selepas tujuh dekad.

Ribuan penyokong selain presiden serantau dan tetamu kehormat memenuhi stadium di ibu negara Liberia, Monrovia untuk menyaksikan Weah yang bangkit dari kawasan setinggan di bandar itu untuk menjadi salah seorang bintang terhebat bola sepak Afrika mengangkat sumpah di pejabatnya.

Bekas penyerang AC Milan dan Paris St Germain serta pemain terbaik tahunan dunia 1995, yang digelar peminat sebagai “King George” tidak kekok menerima sorakan peminat yang memenuhi stadium seperti ketika beliau bergelar pemain.

Namun beliau menyedari halangan besar menantinya selepas menggantikan pemenang Hadiah Kemenangan Nobel Ellen Johnson Sirleaf.

“Adalah menjadi tugas saya untuk memimpin negara ini dari perpecahan kepada penyatuan. Saya tidak akan kecewakan anda,” Weah.

Weah, mencipta kejutan apabila menang besar bulan lalu dengan sokongan hebat daripada generasi muda dan golongan miskin.

Beliau yang menyarung jubah putih ketika membuat ucapannya berjanji untuk menunaikan janjinya ketika berkempen, khususnya menangani salah laku yang gagal ditangani presiden sebelumnya sepanjang 12 tahun memerintah negara.

“Adalah menjadi keyakinan saya bahawa cara paling berkesan terhadap golongan miskin dan merapatkan jurang antara yang kaya dengan miskin adalah memastikan bahawa hasil rakyat tidak berakhir di kantung pegawai kerajaan,” kata beliau.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 8:25am
d