arena

Evan, Ilham taruhan Gergasi Merah

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

MUSIM lalu, Selangor sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam, agak terkebelakang jika dibandingkan dengan gelaran hebat Gergasi Merah yang memiliki pelbagai koleksi trofi.

Namun, saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018, Ketua Jurulatih Selangor, P Maniam mengakui persiapan pasukan sepanjang kempen pramusim kali ini lebih baik berbanding musim lalu, sekali gus menandakan mereka lebih bersedia untuk menjadi pencabar utama.

Faktor tempoh lebih panjang yang dimiliki juga membolehkannya menilai kelemahan serta kekuatan secara lebih terperinci, terutama dengan kehadiran dua tonggak muda Garuda, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn yang bakal bergandingan dengan Rufino Segovia (Sepanyol) serta Willian Silva Costa Pacheco (Brazil).

“Kita boleh nampak pemain begitu bersemangat. Mereka begitu komited dan melakukan setiap latihan secara bersungguh-sungguh.

“Persiapan kita kali ini lebih baik berbanding tahun lalu. Ini bagus untuk menyiapkan pasukan sekali gus pemain dapat memahami taktikal secara jelas,” katanya.

Pada kempen Liga Super musim lalu, Selangor menamatkan saingan di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, FELDA United, Kedah dan Perak.

Kini, Maniam mempunyai tugas terakhir untuk mengadunkan kelebihan dimiliki pemain import dengan pengalaman pemain senior Amri Yahyah, Razman Roslan, Joseph Kalang Tie dan Azamuddin Akil untuk membimbing pemain muda lain.

“Mereka sebagai pemimpin yang boleh mendidik pemain muda. Kita boleh lihat pemain muda makin serasi dengan mereka. Kita terapkan kerja secara berpasukan dan sudah pasti ia bagus buat Selangor,” kata Maniam.

Bagi dua tonggak berpengalaman Selangor, Razman dan Amri, mereka tidak mahu pemain muda Selangor terlalu menghormati pasukan lain, sebaliknya perlu selesa untuk memikirkan soal persiapan sendiri.

“Pada mulanya pemain muda seperti segan, tetapi kini mereka mula selesa dengan pemain senior. Saya nampak kita mampu memberi saingan kepada pasukan besar, namun perkara paling utama adalah mereka sendiri perlu ada keinginan untuk raih kejayaan,”

Bagi Amri, aspek pemain berkualiti hanya berkisar kepada persepsi saja kerana apa yang menjadi penentu ialah persembahan pemain pada hari perlawanan.

“Untuk Liga Malaysia (Liga M), saya beranggapan tidak ada pasukan yang benar-benar kukuh. Semua pasukan boleh memberi persaingan,” kata Amri.

Apa kata mereka:

“Setiap pasukan ada kelemahan dan kelebihan masing-masing. Bergantung kepada pemain, kalau mereka ‘mahu bermain’, memang boleh menang,” kata Amri Yahyah

“Tidak perlu hormati sesiapa pun. Paling penting kita fokus kepada pasukan sendiri kerana kita sendiri tentukan apa yang perlu dilakukan,” kata Razman Roslan

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 10:00am
d