arena

Arnold enggan kendali Socceroos

Oleh AFP

SYDNEY: Graham Arnold menolak kemungkinan mengendalikan skuad Piala Dunia Australia 2018 tetapi sedia mengambil alih tugas pada masa depan. Arnold salah seorang calon untuk menggantikan Ange Postecoglou yang meletak jawatan pada November lalu selepas Socceroos menewaskan Honduras dalam aksi playoff untuk layak ke Russia.

Jurulatih kelab Sydney FC, Arnold mengendalikan skuad Australia bersama pengurus Guus Hiddink dan Pim Verbeek sejak Piala Asia 2007.

Jurucakap Sydney FC berkata, Arnold yang berusia 54 tahun itu akan kekal di kelab A- League sekurang-kurangnya untuk musim 2017/18 yang berakhir awal Mei.

“Saya komited bersama Sydney FC dan fokus 100 peratus untuk memenangi dua trofi musim ini, ” kata Arnold dalam satu kenyataan.

“Saya mengesahkan tidak akan melatih Socceroos di Russia.”

Pengerusi Sydney, Scott Barlow berkata, Arnold dan kelab juga akan menyambung perbincangan mengenai pelan jangka panjang jurulatih itu.

Media tempatan melaporkan Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) lebih berminat mendapatkan jurulatih asing untuk jangka masa pendek bagi menghadapi cabaran Piala Dunia yang berlangsung pada Jun-Julai.

Delegasi FFA diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, David Gallop menuju ke Eropah kelmarin bagi mencari calon sesuai dan pengumuman mengenainya akan dilakukan pada pertengahan Februari.

Antara calon pilihan ialah jurulatih Belanda, Bert van Marwijk dan Louis Van Gaal, bekas pengurus Manchester City dan jurulatih Zenit St Petersburg Roberto Mancini dan bekas pengurus Amerika Syarikat dan Jerman, Jurgen Klinsmann.

Socceroos berada dalam Kumpulan C bersama Perancis, Denmark dan Peru. Perlawanan pertama mereka menentang Les Bleus pada 16 Jun.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 11:24am
d