arena

Djokovic nilai semula karier

Oleh AFP

MELBOURNE: Kini tiba masanya buat juara Grand Slam 12 kali Novak Djokovic menilai kembali masa depannya selepas tersingkir daripada Terbuka Australia berikutan kecederaan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu kelihatan kecewa ketika tewas kepada pemain muda Korea Selatan Chung Hyeon pada pusingan keempat semalam dan menamatkan peluangnya untuk menjulang gelaran ketujuh Terbuka Australia buat masa ini.

Pemain Serbia berusia 30 tahun itu meninggalkan Australia untuk menilai kembali perjalanan kariernya selepas siku kanannya terus mengalami kesakitan ditambah pula dengan kecederaan pinggul.

Djokovic beraksi dalam perlawanan pertamanya dalam tempoh enam bulan selepas enggan memilih untuk melakukan pembedahan siku untuk memudahkannya kembali menyertai sukan itu.

Namun segala-galanya terdedah di Arena Rod Laver ketika dia bergelut menahan kesakitan sebelum Chung melakar kemenangan terbesarnya.

Persoalannya kini buat Djokovic adalah sama ada kekecewaan itu bersifat sementara atau lebih kepada petanda kemerosotan prestasi berpanjangan.

“Sudah tentulah ia mengecewakan apabila anda mempunyai masa yang cukup tetapi tidak pulih dengan sempurna. Namun itulah hakikatnya,” katanya selepas kekalahan itu.

“Pasti ada sebab di sebalik semua ini. Saya sudah mencuba yang terbaik kerana saya sukakan sukan kini.

“Saya suka berlatih. Saya suka melihat diri dalam keadaan baik, berharap akan kembali sembuh dan dapat bertanding. Malangnya ia sesuatu yang sukar untuk saya tangani ketika ini.”

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 12:45pm
d