arena

Elise kejutkan Elina straight set

Oleh AFP

MELBOURNE: Pemain bukan pilihan yang tampil buat kali pertama Terbuka Australia Elise Mertens mengejutkan pemain nombor empat dunia Elina Svitolina dalam straight set untuk mara ke separuh akhir Grand Slam itu.

Pemain nombor 37 dunia dari Belgium yang melakar 10 kemenangan sejak menjuarai kejohanan di Hobart bulan ini, menewaskan pemain Ukraine 6-4, 6-0 dalam tempoh 1 jam 13 minit.

Elise yang tidak tewas sebarang set, menjadi pemain Belgium pertama ke separuh akhir selepas Kim Clijsters pada 2012.

“Saya kehilangan kata-kata. Saya tidak tahu apa yang hendak dikata. Saya sudah berikan segala-galanya hari ini,” katanya.

“Saya bermain dengan baik hari ini dan cuba kekal agresif.”

Elise,22, berlatih bersama jurulatih yang juga teman lelakinya Robbe Ceyssens di Akademi Kim Clijsters, Belgium dan menyaksikan peningkatan ranking dunianya meningkat dari 127 pada akhir 2016.

Dia tidak pernah melepasi pusingan ketiga Grand Slam dalam empat penampilannya sebelum ini.

“Dia sungguh bermakna buat saya,” kata Elise mengenai teman lelakinya Ceyssens.

“Dia sentiasa berada di sisi saya sepanjang masa. Sejak kami bersama, permainan saya terus meningkat. Saya berterima kasih kepadanya.”

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 12:50pm
d