arena

Vietnam mara final AFC B-23

Oleh Agensi

PENJAGA gol Vietnam, Bui Tien Dung menjadi wira selepas menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus membolehkan Vietnam mara ke final Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun dengan menewaskan Qatar 4-3, sebentar tadi.

Tien Dung menyelamatkan sepakan Ahmad Moein dan Sultan Al Brake dalam penentuan sepakan penalti apabila perlawanan terikat 2-2 selepas tamat masa tambahan sekali gus membantu Vietnam mencipta kejutan menjadi pasukan Asia Tenggara pertama mara ke final.

Skuad kendalian Park Hang Seo itu bakal bertemu pemenang satu lagi pertembungan separuh akhir antara Korea Selatan atau Uzbekistan pada aksi final, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Qatar terlebih dahului mendahului apabila dihadiahkan penalti susulan kekasaran pemain pertahanan Vietnam, Bui Tien Dung ke atas Almoez Ali yang mudah disempurnakan Akram Afif pada minit ke-39

Gol penyamaan Vietnam terhasil pada minit ke-69 apabila kegagalan pemain Qatar mengeluarkan hantaran lintang Nguyen Phong Hong Duy membolehkan Nguyen Quang Hai menolak masuk bola dari jarak dekat untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, tiga minit sebelum permainan berakhir, Almoez Ali meletakkan Qatar kembali di depan apabila memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gol.

Namun, kegembiraan mereka tidak lama apabila Quang Hai sekali lagi menjaringkan gol penyamaan seminit kemudian sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Masa tambahan menyaksikan tiada jaringan dapat dihasilkan sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 8:34pm
d