arena

Jin Wei tiada masalah benam Sri Krishna

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tidak berdepan masalah mara ke undian utama Indonesia Masters walaupun berlaku pertukaran jadual di saat akhir dalam pusingan kelayakan.

Jin Wei yang bertemu Sri Krishna Priya Kudaravalli mudah mencatat kemenangan 21-7, 21-9 dalam tempoh 23 minit ke atas pemain India itu dan bakal berdepan seorang lagi pemain dari peringkat kelayakan, Gregoria Mariska Tunjung pada pusingan pertama esok.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, dia gembira dengan corak permainannya walaupun hanya mengetahui menentang Sri Krishna di saat akhir.

“Ramai pemain menarik diri dalam undian utama, jadi di saat akhir baru saya tahu akan berdepan wakil dari India. Jadi, saya hanya turun beraksi dan bermain seperti biasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai aksi pusingan pertama menentang Gregoria Mariska yang juga wakil tuan rumah, Jin Wei hanya berharap dapat bermain seperti biasa walaupun dalam pertemuan terakhir di Kejohanan Remaja Asia tahun lalu dia tumpas 21-18, 24-26, 15-21.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei juga berjaya ke undian utama selepas menumpaskan pasangan tuan rumah, Yehezkiel Fritz Mainaky-Lyanny Alessandra Mainaky 21-15, 21-19.

Mereka akan berdepan Wang Chi-Lin-Lee Chia Hsin dari Taiwan pada pusingan pertama.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 10:21pm
d