arena

Perlu dana bentuk pasukan lebih raya

Oleh Haika Khazi

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) boleh menghidupkan semula pasukan lebuh raya, namun dengan syarat ia perlu diuruskan oleh individu yang berpengalaman dan berkelayakan.

Bekas jurulatih negara, Datuk Ng Joo Ngan, berkata cadangan PKBM itu baik, namun sukar direalisasikan kerana pelbagai kekangan terutama dari segi kesukaran mendapatkan dana dan pemilihan pelumba.

“Saya melihat usaha itu (menubuhkan pasukan lebuh raya memang baik) tetapi ia bukan mudah kerana kita perlu belanja banyak wang dan melantik jurulatih atau pengurus berpengalaman serta komited dengan tanggungjawab diamanahkan.

“Satu lagi aspek penting yang PKBM kena lihat macam mana mahu cari pelumba muda berusia bawah 20 tahun dan senior yang sanggup memberikan komitmen 100 peratus berlatih dan bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Kalau pelumba terpilih enggan memberikan komitmen 100 peratus dan gagal mencapai kejayaan (seperti menang pingat emas di Sukan SEA) maka tiada gunanya tubuhkan pasukan kerana hanya membazirkan wang sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Joo Ngan mengulas mengenai cadangan PKBM menghidupkan semula pasukan lebuh raya selepas ia dibubarkan pada 2015 sebagai persiapan ke temasya Sukan SEA Manila 2019.

Antara pelumba yang berada dalam radar PKBM termasuklah pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 iaitu Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi; Nik Mohd Azwan Zulkiflie; Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal.

Turut disenaraikan empat lagi iaitu Muhammad Elmi Jumari, Hamdan Hamidun, Muhammad Shaiful Mohd Shukri dan Azli Najmi Zulkefli.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau sanggup memikul tanggungjawab andai PKBM menawarkan kontrak sebagai pengurus atau jurulatih pasukan berkenaan, Joo Ngan berkata: “Saya mesti fikir 10 kali dulu kerana ia satu tugas yang berat dan memerlukan komitmen tinggi.”

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 12:14am
d