arena

Danial enggan dibuai populariti

Oleh BERNAMA

Sepang: Penjaring tunggal ketika skuad negara melakar kejutan menewaskan Arab Saudi 1-0 pada Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC, Danial Amier Norhisham tidak mahu hanyut dengan populariti sebaliknya ingin berusaha keras mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama FELDA United.

Danial yang menjangkau usia 21 tahun pada 27 Mac depan, tidak menyangka namanya terus ‘naik’ sebaik berjaya membantu pasukan kebangsaan mencatat kemenangan ke atas Arab Saudi dan tidak mahu leka dibuai kemenangan indah itu.

“Saya memang tidak jangka perkara ini akan terjadi. Sebelum ini tidak ada siapa pun yang mengenali Danial Amier. Tapi syukur, selepas kejohanan ini, nama saya semakin melonjak naik.

“Bukan nak cakap saya mahu kejar populariti, tapi perkara ini bagus untuk perkembangan karier saya,” kata pemain yang pernah mendapat tawaran untuk beraksi di Australia bersama kelab Dunbar Rovers FC, namun terpaksa melupakan hasrat itu ekoran masalah visa.

Danial berkata, liputan media yang sering menonjolkan namanya menjadi satu motivasi yang baik untuknya pergi lebih jauh dalam arena bola sepak.

“Saya anggap ia satu motivasi untuk menaikkan semangat supaya berusaha lebih gigih lagi pada masa akan datang,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 2:59am
d