arena

Angelique sedia rampas kembali gelaran

MELBOURNE: Bekas juara, Angelique Kerber memberi petanda bahawa dia sudah sedia untuk merampas kembali gelaran Terbuka Australia selepas membelasah finalis Terbuka AS, Madison Keys untuk layak ke separuh akhir.

Juara edisi 2016 itu yang diletakkan selaku pilihan ke-21, mengetepikan Madison yang juga pilihan ke-17, 6-1, 6-2 dalam tempoh 51 minit di Rod Laver Arena.

“Bukan mudah untuk menundukkan Madison,” kata Angelique yang turut menjulang Terbuka AS 2016.

“Pukulannya sungguh kuat dan saya cuba mengimbanginya sejak awal permainan. Saya cuma meneruskan rentak sama sepanjang minggu ini. Saya bermain dengan gaya sya sendiri.

“Saya suka beraksi di Australia dan Rod Laver Arena. Saya mempunyai pelbagai memori manis di sini.”

Aksi Angelique-Madison penuh dengan corak permainan klasik - seorang memiliki servis mantap manakala seorang lagi tidak mudah putus asa.

Bagi Madison, servisnya itu adalah senjata utama dan pernah mengecewakan banyak nama-nama besar.

Servis mantapnya cukup menjadi ketika di pusingan ketiga apabila mengalahkan Caroline Garcia sambil melakukan sembilan ace.

Tetapi hari ini, Angelique menjawab setiap servis yang dilakukannya dan memperoleh mata lebih 57 peratus daripada servis pertama Madison.

Tanpa perancangan lain, servis Madison dipatahkan Angelique sebanyak empat kali ketika set pertama yang menyaksikan bintang Jerman itu menang 6-1 hanya dalam tempoh 22 minit sebelum mendahului 3-1 di set kedua.

“Saya tidak terlalu memikirkan soal menang atau takut melakukan kesilapan. Saya hanya menikmati permainan dan cuba mendapat mata daripada setiap pukulan.

“Saya gembira dapat melangkah ke separuh akhir.”

Madison yang layak ke separuh akhir di Melbourne 2015, hanya dapat memperlahankan sedikit rentak kemenangan Angelique untuk merapatkan kedudukan 3-2.

Tetapi Angelique ternyata lebih kental bertahan dan mendominasi permainan sekali gus membolehkannya mendahului 5-2 sebelum menang perlawanan berikutnya.

Angelique mungkin bertemu sama ada pilihan utama, Simona Halep atau pilihan keenam, Karolina Pliskova di separuh akhir. - AFP

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 11:26am
d