arena

MHC perlu lebih banyak jurulatih muda

Oleh Saiful Affendy Sapran dan Naqib Nor Said

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) perlu memberi lebih banyak peluang kepada jurulatih muda membimbing skuad negara.

Bekas penyerang negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berkata, barisan jurulatih muda perlu mendapat bimbingan serta pendedahan yang komprehensif kerana mereka akan menjadi aset negara pada masa depan.

Justeru, Rodzhanizam atau lebih mesra disapa Rod kurang bersetuju dengan keputusan terbaru badan induk itu tidak menyambung kontrak Iman Gobinathan, seorang jurulatih muda yang baru berusia 40 tahun.

“Saya tidak tahu apakah alasan sebenar MHC tidak menyambung kontrak Gobi. Tapi persoalannya ialah kenapa MHC tidak memberi sokongan kepada barisan jurulatih muda ini.

“Gobi baru berusia 40 tahun dan masih muda. Orang muda seperti dialah yang sebenarnya perlu digilap oleh MHC,” katanya.

Jelas Rod, sudah tiba masanya MHC lebih banyak memberi peluang kepada barisan jurulatih muda.

“Kalau tak harapkan jurulatih muda ini nak harapkan siapa lagi? Memang jurulatih lama juga diperlukan tetapi kita juga harus seimbang memberi peluang kepada jurulatih baharu.

“Sebab itu saya sokong bila (Muhamad) Amin Rahim dilantik selaku penolong jurulatih skuad kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain negara, Mohamad Abdul Hadi berkata, MHC pasti mempunyai sebab tersendiri mengapa tidak menyambung kontrak Gobi.

“Saya tidak fikir ia berkaitan masalah disiplin kerana jurulatih seperti Gobi sangat komited dalam menjalankan tugasnya.

“Mungkin ada sebab lain seperti tiada persefahaman antara pihak pengurusan dan jurulatih,” katanya.

Gobi mula dilantik sebagai jurulatih skuad pembangunan wanita bermula awal 2016 sebelum diberi tanggungjawab melatih skuad dalam dewan wanita negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tahun lalu.

Gobi mengikut jejak langkah bekas penolong jurulatih skuad hoki lelaki, Lim Chiow Chuan dan M Nadarajah (jurulatih penjaga gol pembangunan negara) yang tidak disambung kontrak.

Pengerusi jawatankuasa kejurulatihan, Soon Mustafa dan pengarah teknikal, Terry Walsh bagaimanapun gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 8:35pm
d