arena

Transformasi baru TRW cetus kebangkitan

Oleh Mohd Fitrie

SELEPAS melepasi badai kemelut pengurusan, masalah kelewatan pembayaran gaji serta tunggakan hutang pada musim lalu, kali ini skuad The Red Warriors (TRW) tampil dengan lebih yakin menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2018. Bersandarkan barisan kepemimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Presiden yang dikemudi Bibi Ramjani Ilias Khan, persiapan kali ini berjaya meningkatkan keyakinan pemain serta penyokong yang begitu dahagakan kejayaan seperti yang pernah dinikmati sebelum ini.

Barisan kejurulatihan juga bertukar wajah apabila Sathit Bensoh diberi tanggungjawab memimpin pasukan.

Namun, bagi Bensoh, jika semuanya berjalan lancar, beliau tidak mahu ada pemain yang bersikap seperti penumpang dalam pasukan.

Peringatan itu disuarakan terutamanya kepada pemain muda kerana adunan skuad TRW musim ini adalah bersandarkan konsep gabungan pemain berpengalaman dan junior.

Menyedari transformasi yang berlaku, jurulatih dari Thailand itu perlu menggandakan kerja untuk memastikan pasukan benar-benar sedia menghadapi Liga Malaysia (Liga M), yang bakal buka tirai 3 Februari ini.

Daripada aspek keserasian antara pemain, Bensoh tidak terlalu terdesak kerana akur perkara itu akan hadir dengan sendirinya.

Untuk itu, persiapan pasukan kini lebih menjurus kepada penerimaan pemain terhadap taktikal.

“Kita kena tingkatkan lagi tahap kombinasi pemain lama dan pemain baharu. Kini (persiapan) kita lebih menjurus kepada aspek taktikal dan fizikal pemain.

“Kami perlu memastikan pasukan berada dalam keadaan lengkap dan selesa sebelum memulakan aksi sebenar,” katanya.

Dalam masa sama, Bensoh turut mengingatkan pemain muda supaya kekal berfikiran positif untuk bersaing dengan pemain senior.

Mengulas mengenai kempen pra musim dan beberapa aksi persahabatan yang dilalui, Bensoh akui yang beliau masih belum berpuas hati dengan tahap kemampuan pasukan terutamanya membabitkan sentuhan penyudah.

Dalam masa sama, Santhit mahu memberi ruang seluas-luasnya buat dua penyerang import, Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopes untuk segera menyesuaikan diri dengan persekitaran serta pasukan baharu.

“Kalau ikutkan, saya belum berpuas hati sepenuhnya. Kami masih ada kerja yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi prestasi keseluruhan pasukan.

“Bruno dan Ferdinand baru saja menyertai pasukan pada Januari. Sudah pasti mereka perlukan masa untuk tingkatkan kombinasi dengan pemain lain termasuk menajamkan lagi sentuhan penyudah,” katanya.

Apa kata mereka:

“Seluruh pasukan dan penyokong menerima saya secara luar biasa. Terima kasih kepada penyokong kerana mula mengenal nama saya. Saya akan mengembalikan sanjungan mereka ini dengan apa yang saya ada dan cuba lakukan yang terbaik dalam setiap pertandingan,” Ferdinand Sinaga.

“Kehadiran pemain muda boleh membantu pasukan dan kami perlu menyesuaikan diri dengan pemain berpengalaman. Semuanya berjalan lancar, terima kasih kepada presiden kepada sanggup berkorban menaikkan semula pasukan ini,” Daniel Ashraf Abdullah.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 10:00am
d