arena

Becker cari trofi langsai hutang

Oleh BBC UK

BORIS Becker hilang lima daripada enam trofi Grand Slam dan merayu kepada orang awam memberitahunya jika mereka ternampak atau terjumpa.

Pemain tenis Jerman berusia 50 tahun itu mahu menjual trofi terbabit untuk melangsaikan hutang akibat diisytihar muflis pada Jun 2017.

Dua trofi Terbuka Australia dan tiga daripada Wimbledon hilang daripada simpanan.

Dia turut kehilangan pingat emas Sukan Olimpik.

"Encik Becker tidak dapat mengambil di mana tempat trofi berada," menurut satu kenyataan bersama Becker dan pemegang amanah muflis berpangkalan di London.

Kelab Tenis All England, Persekutuan Tenis Jerman, Persatuan Tenis Amerika Syarikat, Tenis Australia dan Dewan Kemahsyuran Tenis Antarabangsa memberitahu mereka tidak menyimpan trofi terbabit.

Pada Jun, sebuah mahkamah muflis di London mendakwa Becker berhutang sejumlah wang yang banyak dengan sebuah bank persendirian dan tidak ada cukup bukti dikemukakan dia mampu membayarnya.

"Kami cuba mengesan dan mendapatkan semula trofi Terbuka Australia dan Wimbledon milik Becker yang hilang untuk menyelesaikan persetujuan pendapatan pembayaran untuk tiga tahun akan datang. Kami masih meneruskan siasatan terhadap kemungkinan menemui hartanah di UK dan luar negara," kata Mark Ford yang mewakili Smith & Williamson LLP.

Becker, bekas pemain nombor satu dunia mencipta nama menjulang gelaran Wimbledon selaku bukan pilihan ketika berumur 17 pada 1985.

Sepanjang karier 15 tahun dia memenangi 64 gelaran jelajah ATP termasuk tiga gelaran perseorangan Wimbledon, dua Terbuka Australia dan Terbuka Amerika Syarikat.

Dia juga meraih gelaran Piala Davis dan menang pingat emas acara beregu lelaki pada Sukan Olimpik 1992.

Sejak bersara daripada permainan itu, Becker menceburi bidang perniagaan dan media.

Dia juga menjadi jurulatih bekas pemain nombor satu dunia Novak Djokovic selama tiga tahun bermula pada 2013.

Secara keseluruhan, Becker kehilangan 14 trofi termasuk Piala Davis 1989.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 1:12pm
d