arena

Seu Bock tolak Thailand

Oleh Helmi Talkah

KEMAMPUAN Datuk Tey Seu Bock sebagai jurulatih mendapat perhatian negara luar dengan Thailand antara yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Difahamkan, Persatuan Badminton Thailand (BAT) mengemukakan tawaran kepada Seu Bock, bulan lalu bagi membimbing barisan pemain perseorangan lelaki negara itu.

Bagaimanapun, menurut sumber, Seu Bock menolak tawaran berkenaan bagi meneruskan tanggungjawabnya sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Seu Bock merasakan masih ada tugas yang perlu diselesaikan bersama skuad perseorangan wanita negara. Lagipun, beliau baru dilantik sebagai ketua jurulatih.

“Beliau ada misi yang mahu dilaksanakan. Mengenali Seu Bock, beliau seorang yang tidak mahu melakukan kerja separuh jalan.

“Biarpun tawaran itu agak lumayan dan peluangnya menimba pengalaman di luar negara, tetapi Seu Bock tetap mengutamakan kepentingan negara,” kata sumber berkenaan.

Sebelum diberi peranan menggalas tugas ketua jurulatih perseorangan wanita Julai tahun lalu, Seu Bock adalah watak penting di sebalik kejayaan dilakar jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Tiga kali Chong Wei meraih pingat perak Olimpik dengan Seu Bock menjadi individu penting di belakang bekas pemain nombor satu dunia itu mencipta kejayaan berkenaan.

Apa yang pasti, minat yang ditunjukkan negara luar terhadap jurulatih tempatan membuktikan BAM berjaya melahirkan tenaga berkualiti.

Seu Bock bukan satu-satunya jurulatih dari Malaysia yang menerima tawaran dari negara luar dengan bekas jurulatih beregu lelaki, Jeremy Gan meletak jawatan tahun lalu selepas menerima tawaran sebagai jurulatih beregu campuran Jepun.

BAM juga kehilangan khidmat jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng yang kini menggalas tugas selaku ketua jurulatih Scotland selain Tan Kim Her yang memegang jawatan ketua jurulatih beregu di India.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 5:29pm
d