arena

'Saya mungkin berkarat tapi seronok'

Oleh AFP

LA JOLLA, Amerika Syarikat: Tiger Woods membuat kemunculan semula dalam Jelajah PGA AS dengan catatan par 72 hari ini dalam hari yang penuh keseronokan dan kekecewaan pada pusingan pertama Terbuka Farmers Insurance.

“Seronok dapat bertanding lagi,” kata Woods selepas pusingan itu yang menyaksikannya mencatat tiga birdie dan tiga bogey.

“Saya mungkin sedikit ‘berkarat’.”

Begitupun kehadirannya masih mampu mengujakan kelompok besar peminatnya di lubang ke-16 di mana pukulan tee dilakukannya dengan six-iron melepasi fairway, melantun sekali dan jatuh lapan inci dari lubang untuk memudahkannya mencatat birdie.

“Saya menghayun six-iron sekuat hati, cuba memukulnya setinggi yang boleh,” kata Woods mengenai pukulannya yang melakar birdie ketiganya hari itu, yang meletakkannya dalam kedudukan par pada hari itu.

Jika tidak, mustahil untuk Woods mencapai kedudukan itu. Dia perlu bekerja keras di Lapangan Utara awal pagi esok, yang menjanjikan saingan lebih mudah untuk dua pusingan pertama kejohanan itu.

Dia melangkah ke pusingan kedua, ketinggalan tujuh pukulan berbanding pendahulu Tony Finau, yang mencatat sembilan birdie dan dua bogey di Lapangan Utara, mencatat birdie di lubang ke-18 untuk mengumpul 65 pukulan.

Ryan Palmer dan Ted Potter Jr berkongsi tempat kedua, kedua-duanya mencatat enam di bawah par 66 di Lapangan Selatan.

“Saya perlu membuat pukulan iron lebih baik berbanding hari ini,” kata Woods.

“Saya tidak memukulnya dengan sempurna. Saya tidak banyak memerhatikan ke mana bola akan jatuh. Sukar untuk melakukan banyak birdie jika anda tidak banyak membuat pemerhatian.”

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 10:59am
d