arena

Alize nafi 'langgar' anti doping

Oleh Reuters

PARIS: Pemain tenis Perancis Alize Cornet menafikan sebarang salah laku selepas didakwa melanggar peraturan anti doping kerana tidak menjalani tiga ujian doping selepas perlawanan dan menyifatkan yang ketiga itu sebagai salah faham.

Program Anti-Doping Persekutuan Tenis Antarabangsa (TADP) berkata pemain nombor 42 dunia itu didakwa pada 11 Januari, sebelum bermulanya Terbuka Australia di mana dia tewas kepada pemain Belgium Elise Mertens pada pusingan ketiga.

Menurutnya, Alize melanggar Artikel 2.4 yang membabitkan kegagalan mengadakan ujian dan tidak memberi maklumat di mana dia berada.

Namun dalam satu wawancara yang akan diterbitkan akhbar sukan Perancis L’Equipe esok, Alize berkata dia tidak melakukan kesalahan.

“Kami amat berhati-hati ketika bersama abang saya (ejennya sebelum itu). Kami tidak melakukan kesalahan apabila tidak hadir buat kali terakhir. Saya berada di rumah dan mereka tidak boleh menyertai saya. Ia satu silap faham yang besar,” kata Alize.

“Itulah sebabnya saya berharap ketidak hadiran buat kali ketiga, akan membersihkan nama saya kerana ia bukan salah saya.”

Kegagalan melakukan ujian sebanyak tiga kali boleh membawa kepada penggantungan.

“Saya sentiasa mempunyai rekod bersih. Pandangan saya terhadap doping amat jelas. Mereka yang menipu wajar dihukum berat. Dalam tempoh 10 tahun saya menjalani 100 ujian, semuanya negatif,” kata Alize.

“Saya melihat ke dalam cermin. Saya bimbang akan digantung atas kesilapan yang tidak sepatutnya. Saya rasa karier saya di tangan juri dan berharap mereka memahami cerita saya.”

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 11:43am
d