arena

Syafiq tahan sakit untuk beraksi

Oleh Haika Khazi

BIARPUN belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan patah kaki kanan akibat kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) September lalu, Mohd Nur Syafiq Suhaimy, kini sudah kembali berlatih untuk menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Para Asia (ACC) dan Sukan Para Asia Indonesia 2018.

Pelumba para berusia 26 tahun ini terpaksa menahan sakit dan ngilu setiap kali mengayuh basikal, namun tetap gigih menjalani latihan di trek Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan dan jalan raya bagi memastikan dia sentiasa bersiap sedia jika terpilih ke Sukan Asia 2018 dan kejohanan lain.

Ketika ini, Mohd Nur Syafiq masih menunggu lampu hijau daripada jurulatih, sama ada dia akan disenaraikan atau diketepikan daripada beraksi di Kejohanan Lumba Basikal Para Asia (ACC) 2018 Velodrom Nasional, pada bulan depan.

“Saya memang kerap mengalami kecederaan termasuk patah tangan dan bahu ketika berlatih atau berlumba, namun kali ini adalah paling teruk sehingga kaki kanan patah dan terpaksa dimasukkan besi.

“Namun, apabila patah kaki kanan, saya berasa ralat kerana sudah hilang upaya kekal dan tenaga, selain mungkin tidak boleh lagi menjadi jurumudi kepada pelumba basikal para kebangsaan.

“Jadi harapan sekarang adalah supaya jurulatih dan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat menyenaraikan saya sebagai sebahagian daripada atlet basikal para selepas mendapat pengesahan daripada pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional, di sini.

Berkongsi detik ngeri yang berlaku ketika menjalani latihan di LATAR, September lalu, Mohd Nur Syafiq, menegaskan dia masih tidak percaya dirinya mengalami kecederaan paling teruk, kerana dia adalah mangsa kedua dilanggar dari belakang oleh kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Kemalangan itu menyebabkan Mohd Nur Syafiq dan pelumba basikal para, Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali serta dua yang lain termasuk seorang lagi jurumudi, Mohd Nor Ridzuan Zainal dan jurulatih basikal para, Mohd Johari Nayan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh, untuk menerima rawatan lanjut.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 7:54pm
d