arena

TSC pamer aksi mantap

Oleh Haika Khazi

Pelumba Team Sapura Cycling (TSC) kini di landasan tepat menepati sasaran berada di sekurang-kurangnya tempat kesepuluh terbaik keseluruhan selepas pelumbanya, Muhammad Nur Aiman Mohd Zarif, muncul tempat ketiga peringkat kedua siri Jelajah Indonesia, dari Madiun ke Mojokerto sejauh 117.7 kilometer (km), hari ini.

Juara peringkat kedua Jelajah Indonesia itu dimenangi oleh pelumba pasukan KFC dari Indonesia Abdul Gani dengan catatan masa 2 jam 24 minit 17 saat; diikuti wakil Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Shahrul Mat Amin, manakala juara peringkat pertama dari TSC, Dylan Page sekadar menduduki tempat ketujuh keseluruhan di peringkat kedua, petang tadi.

Terdahulu, perlumbaan peringkat kedua hari ini berlangsung sengit dengan semua pelumba memecut laju dan bergerak dalam satu kumpulan dan tiada pemisahan awal sehingga enam jaguh berbasikal melakukan ‘breakway’ pada kilometer ke-72 untuk menjarakkan diri daripada kelompok besar.

Antara pelumba yang berjaya menjarakkan diri daripada kelompok besar ialah Abdul Gani (KFC), Mohd Shahrul (TSG), Nur Aiman (TSC), masing-masing seorang pelumba Pasukan Kebangsaan Mangolia, Thailand Continental Team dan St George Team dengan perbezaan masa antara 1.45 saat hingga 1.30 saat sehingga di garis penamat.

Sementara itu, Pengurus TSC, Sayuti Zahit, ketika dihubungi menyatakan rasa gembira dan berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya yang berjaya menaiki podium dua hari berturut-turut dengan Page muncul juara di peringkat pertama (semalam) diikuti Nur Aiman di tempat ketiga hari ini.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan pelumbaan esok menjanjikan saingan lebih sengit kerana semua pelumba terpaksa melalui tiga pendakian (satu kategori 4 dan dua kategori 4).

“Biarpun begitu, kami meletakkan sasaran menaiki podium dan menang kategori pelumba terbaik Indonesia dalam perlumbaan yang dijangka bermula dari Probolingo ke Banyuwangi sejauh kira-kira 200km esok,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 10:17pm
d