arena

Zuhairie buru Kejohanan Lumba Basikal Dunia

Oleh Haika Khazi

PELUMBA basikal para, Zuhairie Ahmad Tarmizi, 28, sasar podium acara 1KM dan 4KM kejar mengejar individu di Kejohanan Lumba Basikal Para Asia (ACC) 2018 Velodrom Nasional,Februari ini.

Bekas pemain bola sepak Piala Presiden T-Team itu menegaskan kemenangan di ACC penting bagi membolehkan melayakkan diri untuk menyertai Kejohanan Lumba Basikal Dunia 2018 di Rio de Janeiro, Brazil, pada Mac depan.

Zuhairie kudung pergelangan tangan selepas tangannya termasuk ke dalam mesin tebu ketika membantu keluarga di bazar Ramadhan di Marang, Terengganu pada 2012 dan ketika itu dia bagaikan ‘putus harapan’ mengenangkan masa depannya.

Namun, dirinya diberikan peluang sekali lagi apabila menerima tawaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dua tahun selepas itu, menceburi arena berbasikal yang jelas tidak pernah difikirkannya sebelum ini.

Dan laluannya dalam sukan berbasikal jelas menyinar apabila dia meraih emas dalam acara 1km ujian masa (C5) lelaki di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Velodrom Nasional Nilai, Ogos lalu.

Selepas mencapai kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017, semangatnya kini semakin menyala untuk menang pingat emas dan merampas jersi Juara Asia di ACC 2018, seterusnya layak ke Sukan Asia 2018 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nanti.

“Saya memang sasar untuk menang emas di ACC 2018 di Nilai bulan depan, namun saya kena waspada dengan kehebatan pelumba Jepun dan rakan sepasukan biarpun kami sering berlatih dan berentap bersama, sebelum ini.

“Saya berharap kemenangan itu nanti akan menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk terus berkayuh sehingga layak ke Sukan Asia 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti,” katanya ketika ditemui di Velodrom Nasional Nilai, di sini.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 11:09pm
d