arena

Bola Shebby: Skill, taktikal Asia Tenggara hampiri Eropah

Oleh Serbegeth Singh

Bola sepak begitu sinonim dipanggil “the beautiful game ” dan minggu lalu menyajikan tahap persembahan yang begitu menggembirakan serta memuaskan. Persembahan pasukan Asia pada separuh akhir Kejohanan Bawah 23 AFC menjadi penanda aras bahawa tahap bola sepak di benua ini tidak jauh berbeza dengan Eropah.

Persembahan empat pasukan, Qatar, Vietnam, Korea Selatan dan Uzbekistan memang tinggi tahap teknikal serta taktikalnya. Setiap pasukan mempunyai ciri-ciri tersendiri yang diperagakan pada separuh akhir.

Uzbekistan mempamerkan tenaga fizikal dengan “footwork” yang menakjubkan baik pemain pertahanan mahupun pemain tengah apatah lagi penyerang. Setiap pemain memperagakan pergerakan kaki pantas serta kemas dalam setiap situasi.

Tiada seorang pemain pun yang kelihatan kurang selesa dan ini menjadikan Uzbekistan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kejohanan B-23 AFC kali ini.

Korea Selatan pula mempamerkan tahap kecergasan yang begitu tinggi dan setiap pemain sanggup berkejar ke sana sini walaupun pada perlawanan itu mereka kurang bijak mengubah corak permainan. Pemain mereka sentiasa mencuba melakukan apa yang diajar dalam latihan namun kurang berkesan.

Persembahan Korea Selatan kelihatan fleksibel tetapi terlalu berstruktur.

Qatar pula menurunkan pemain individu yang mahir serta kemas dalam teknik dan skil. Pemain seperti Akram Afif boleh mencorakkan magis dan Almoez Ali pula adalah penjaring gol berbisa.

Jelas kelihatan Qatar lebih menumpukan perhatian kepada pembangunan individu memandangkan matlamat mereka adalah Piala Dunia Qatar 2022.

Teknik individu pemain Qatar tidak jauh bezanya berbanding pemain Uzbekistan dan pada masa akan datang, pembangunan fizikal akan memainkan peranan.

Anda akan dapat lihat peningkatan mendadak pada pusingan akhir Piala Asia UAE 2019 daripada pasukan Qatar yang juga menjadi perancangan jangka masa panjang.

Vietnam pula sudah mencipta sejarah dengan menempah tiket ke perlawanan akhir. Anda dapat lihat bagaimana pemain Vietnam turun padang dengan pegangan hidup atau mati. Vietnam kembali ke asal-usul bersukan, persembahan bermati-matian setiap kali turun padang.

Segala rintangan, tenaga Iraq pada suku akhir atau kemahiran tinggi Qatar diatasi dengan disiplin taktikal serta semangat nasionalisme yang mengagumkan.

Vietnam lebih selesa apabila menghadapi tekanan seperti pada masa tambahan menentang Iraq. Pemain Vietnam tidak gementar apabila mengambil sepakan penalti pada saat-saat getir.

Anda akan lihat dua pemenang pada perlawanan akhir walaupun hanya satu pasukan saja akan muncul juara.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 3:29am
d