arena

Tok Gajah bakal 'naik minyak'

Oleh Malik Muhamad

NAIB juara Liga Super musim lalu, Pahang dianggap bakal kekal menjadi pencabar utama saingan kali ini, namun skuad Tok Gajah dilihat lebih selesa menyembunyikan kelibat sebenar mereka sepanjang kempen pramusim.

Mungkin mahu menyembunyikan bisa, hanya Dollah Salleh yang mengetahui kerana pengendali ini cukup terkenal dengan kepelbagaian strategi menentang lawan berbeza.

Ataupun, mungkin Dollah juga masih mencari aduan terbaik untuk memilih kesebelasan utama menjelang aksi pembuka tirai bertemu Perak pada 4 Februari di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Berdasarkan aksi ketika kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu yang julung kali diadakan pada 15 hingga 20 Januari lalu, Tok Gajah seolah-olah beraksi di bawah keupayaan sebenar, tetapi bagi Dollah, itulah peluang terbaik mencuba pelbagai kombinasi.

Mereka hanya menang sekali ke atas Terengganu FC II (TFC II) 2-1, selain kalah besar 2-4 kepada Terengganu FC I dan 1-4 kepada Melaka United sekaligus mengiyakan barisan jurulatih skuad Tok Gajah itu menyimpan strategi sulit sebelum menggempur pihak lawan pada saingan sebenar.

“Saya tidak berani untuk bercakap mengenai kekuatan pasukan kerana perkara ini masih baharu. Tetapi apa yang penting saya sudah nampak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi liga nanti selepas melalui beberapa aksi persahabatan pramusim di Bangkok dan di Terengganu.

“Malah dalam kejohanan ini (Piala Menteri Besar Terengganu), kita perlu banyak betulkan apa yang sepatutnya, apatah lagi skuad kami kini kekurangan latihan kerana lebih banyak beraksi dalam aksi pramusim,” kata Dollah yang mengakui prestasi pasukannya belum mencapai lagi tahap yang diinginkan.

Mengenai persiapan pasukannya setakat ini, bekas pengendali kebangsaan itu tanpa berselindung mengakui masih belum mencapai tahap 100 peratus biarpun saingan liga bakal membuka tirai tidak lama lagi.

“Kita masih lagi mencari keserasian dan persefahaman pemain kerana ada muka baharu dan lama, tapi kami berkeyakinan perkara itu akan dapat diselesaikan. Sebab itulah kita batalkan aksi pramusim di Brunei (24 Januari),” kata Dollah.

Bagaimanapun, jika dilihat kepada barisan pemain Tok Gajah itu, majoritinya adalah nama besar termasuk bekas tonggak skuad kebangsaan - Norshahrul Idlan Talaha, Bunyamin Omar, Mohd Zuber Mohd Azmi, Mohd Afif Amiruddin, Mohd Faisal Rosli dan Muslim Ahmad serta penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Alias.

Skuad ini juga diperkuatkan dengan pemain skuad bawah 23 tahun negara iaitu Nor Azam Azim, Kogileswan dan Matthew Davies yang bakal memakai lilitan sebagai kapten.

Bagi menambah sengat, Tok Gajah juga mengikat bintang import berpengalaman dari Singapura, Safuwan Baharudin yang memiliki kepakaran menjaringkan gol menerusi tandukan.

Kotisyen:

“Walaupun ini penampilan pertama bersama Pahang, tetapi pengalaman beraksi di Liga M termasuk bersama PDRM bakal menjadi kekuatan kepada saya untuk membantu pasukan meraih trofi musim ini.”

Pemain import Pahang, Muhammad Safuwan Baharudin

“Berdasarkan aksi pramusim, saya yakin Pahang mampu menjadi pencabar terkuat musim ini seperti musim. Hubungan dalam pasukan cukup baik, bagaikan sebuah keluarga yang memiliki semangat berpasukan tinggi,”

Penjaga gol, Remezey Che Ros

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 10:01am
d